In the News

Back
Wednesday, 13 Aug, 2025

S’pura lancar inisiatif selidik rawat kehilangan otot

Dalam langkah penting bagi memperkukuh usaha menangani masalah kesihatan yang semakin meruncing dalam kalangan warga emas, Singapura telah melancarkan inisiatif nasional pertama bagi penyelidikan sarkopenia.

Sarkopenia ialah penyakit kehilangan otot yang berpunca daripada penuaan.

Daya usaha Penyelidikan Mekanistik dan Inovasi Klinikal bagi Diagnosis dan Terapi Sarcopenia iaitu Magnet – singkatan pada Mechanistic Investigation and Clinical Innovation for Sarcopenia Diagnosis and Therapy – dirasmikan pada 4 Ogos.
Ia disokong geran $10 juta di bawah National Medical Research Council (NMRC).

Majlis pelancaran menyaksikan kehadiran tetamu kehormat, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Kenneth Mak, yang turut menyampaikan ucaptama.

Penyakit senyap yang menghakis kekuatan itu menjejas hampir seorang daripada tiga warga emas di Singapura yang berusia 60 tahun ke atas.

 

Ia menyebabkan mereka berisiko tinggi mengalami jatuh, patah tulang, dan kehilangan keupayaan diri.

Namun, penyakit itu bukan sahaja terbatas pada warga tua.

Menurut kajian, seorang daripada 14 rakyat Singapura di bawah usia 60 tahun turut berisiko menghidap sarkopenia, khususnya mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti barah dan kencing manis.

“Walaupun senaman boleh membantu menangani sarkopenia buat jangka pendek, ia membimbangkan kerana tiada rawatan perubatan berkesan yang mampu merawat penyakit ini secara menyeluruh dan lengkap,” kata Profesor Mak.

Magnet disokong oleh pelbagai institusi kesihatan dan penyelidikan termasuk Sekolah Perubatan Duke-NUS, Hospital Besar Changi, Pusat Barah Nasional Singapura, Hospital Besar Sengkang, dan Hospital Tan Tock Seng.

Daya usaha itu turut melibatkan kerjasama dengan semua tiga rangkaian kesihatan awam di Singapura – SingHealth, National Healthcare Group dan National University Health System.

Turut serta adalah institusi akademik seperti Institut Biologi Molekul dan Sel di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*star) serta program imunologi dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dalam ucapannya, Profesor Mak berkata: “Sarkopenia bukan sekadar isu kesihatan warga tua. Ia mencabar cara kita menjaga dan menyokong kehidupan mereka agar terus aktif dan berdikari.

“Justeru, penyelidikan seperti Magnet amat penting untuk memahami punca sebenar, memperbaiki cara diagnosis dan akhirnya, membangunkan rawatan yang berkesan.”

Dalam kenyataan akhbar, Sekolah Perubatan Duke-NUS, menetapkan empat matlamat utama Magnet. Ia termasuk:

Pemetaan molekular dan metabolik sarkopenia dalam pesakit pelbagai latar belakang.

Pembangunan alat diagnosis awal menggunakan biopenanda, pengimejan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penemuan laluan molekular baharu dan ujian keberkesanan rawatan yang berpotensi.

Menterjemah dapatan pada ujian saringan klinikal dan kaedah terapeutik bagi mencegah dan merawat.

Lebih 400 pesakit sarkopenia dari Hospital Besar Sengkang telah dikenal pasti untuk menyertai kajian itu, menjadikannya kumpulan klinikal terbesar bagi pesakit sarkopenia di Asia setakat ini.

Menurut Profesor Mak, daya usaha itu melengkapi pelbagai usaha nasional sedia ada seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG – program yang menyasarkan penuaan sihat dalam kalangan rakyat.

“Saya berharap hasil kajian Magnet akan membantu merapatkan jurang pengetahuan sepanjang perjalanan rawatan pesakit, serta menyumbang kepada dasar lebih kukuh dan berasaskan bukti tempatan,” tambah beliau.

Di samping itu, beliau turut menyebut tentang program, Steady Lah!, yang ditawarkan di Pusat Penuaan Aktif (AAC), yang memberi latihan kekuatan otot kepada warga emas.

Hasil daripada Magnet berpotensi membantu memperbaiki reka bentuk program sedemikian di masa hadapan.

Dengan pelancaran Magnet, Singapura kini berada di barisan hadapan dalam usaha sejagat dalam menentang sarkopenia – penyakit yang sebelum ini kurang diberi perhatian namun memberi kesan besar terhadap mutu kehidupan.

Source: Berita Harian© SPH Media Limited. Permission required for reproduction.

Browser not supported

Modern websites need modern browsers

To enjoy the full experience, please upgrade your browser

Try this browser